Tulang dijumpai di Gua Kandu sah tulang manusia - Polis

Polis mengesahkan serpihan tulang yang dijumpai di Gua Kandu, Gopeng, Perak pada Sabtu ialah tulang manusia.

Pengesahan awal itu adalah hasil bedah siasat terhadap serpihan tersebut di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata spesimen darah salah seorang ahli keluarga peserta Gopeng Ultra Trail yang hilang sejak 23 Mac lalu, Mohammad Ashraf Hassan, telah diambil untuk ujian Asid Deoksiribonukleik atau DNA.

“Serpihan tulang bersama spesimen darah tersebut telah dihantar ke Jabatan Kimia Petaling Jaya bagi tujuan perbandingan DNA.

“Keputusan ini dibuat untuk memperlihatkan perkaitan di antara penemuan tulang ini dengan kes kehilangan Mohammad Ashraf Hassan atau Acap memandangkan lokasi tulang ini dijumpai dalam radius atau lingkungan kawasan pencarian dan juga berhampiran dengan trek perlumbaan GUT 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di pejabatnya di Kampar pada Selasa.

Menurutnya, keputusan ujian DNA itu dijangka diketahui dalam tempoh satu hingga dua bulan.

Bagaimanapun, kata beliau, pihak polis akan berusaha untuk mendapatkan keputusan itu lebih awal daripada itu.

Dalam pada itu, beliau berkata operasi mencari Mohammad Ashraf masih diteruskan oleh orang kampung dalam skala yang lebih kecil.

Sumber: Astro Awani

'Tak pelik isteri kenamaan rasmi kapal TLDM'

SHAH ALAM - Tiada yang pelik apabila isteri orang-orang kenamaan dipilih menjadi perasmi penamaan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kerana ianya merupakan tradisi unik yang diamalkan seluruh dunia.

Penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berkata, oleh itu bukanlah menjadi suatu yang aneh apabila isteri kepada Menteri Pertahanan dipilih untuk menjadi perasmi dalam upacara berkenaan.

"Setiap kapal di dalam armada TLDM ada sejarahnya tersendiri, sejarah sebelum ini telah membuktikannya, misalnya, KD Laksamana Tan Pusmah ialah sebuah Kapal Penyerang Laju Korvet Kelas Assad yang dibina di Limbungan Fincantieri Marghera, Venice, Itali pada Februari 1982.

"Kapal ini telah dilancarkan oleh Datin Seri Kamariah Buang iaitu isteri kepada Panglima Tentera Laut pada masa itu," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian mengulas penularan gambar isteri Menteri Pertahanan, Normah Alwi di Wuhan, China yang merasmikan LMS Keris iaitu kapal pertama LMS untuk TLDM.

Mengulas lanjut, Zaki berkata, malah pada 3 Disember 1994, Datin Seri Rosmah Mansor isteri kepada Menteri Pertahanan ketika itu, pernah merasmikan KD Lekiu.

"Penamaan dan pentauliahan KD Laksamana Muhammad Amin telah disempurnakan oleh Tunku Maziah Tunku Mustapha, iaitu isteri kepada Menteri Pertahanan 31 Julai 1999," katanya.

Jelasnya dalam tradisi asal botol minuman akan dipecahkan dalam kapal berkenaan.

"Kononnya kalau botol tu tak pecah, kapal tu bakal bernasib malang, dulu-dululah," katanya.

Sumber: Sinar Harian / MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI

Fizz Fairuz buat laporan polis terhadap Makcik Puaka

Selepas tujuh hari memberi tempoh permohonan maaf kepada pengendali akaun gosip Makcik Puaka atas tuduhan menyebar fitnah terhadapnya, pelakon Datuk Fizz Fairuz mengambil tindakan lanjut membuat laporan polis petang tadi.

Laporan itu dibuat Fizz di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk membawa pihak tersebut ke muka pengadilan selepas pengendali akaun itu gagal memunculkan diri seperti dituntutnya pada 7 April lalu.

Sebelum itu, Fizz, 39, melanjutkan tempoh untuk individu itu membuat permohonan maaf dalam masa 24 jam pada Isnin lalu, namun pemilik akaun berkenaan masih gagal berbuat demikian.

“Saya minta dia buat permohonan maaf secara terbuka tetapi dia gagal. Dia ada menghantar mesej  kepada saya di Instagram untuk meminta maaf. Tetapi itu bukan permohonan maaf yang saya mahukan,” katanya.

Katanya lagi, beliau juga telah meninggalkan nombor telefon kepada individu itu supaya memudahkan urusannya untuk membuat permohonan maaf.

“Saya beri nombor telefon sekiranya dia berhasrat berjumpa dengan saya secara peribadi. Tetapi semua itu hanya sia-sia kerana dia langsung tidak menghubungi saya,” katanya.

Terdahulu, akaun hiburan itu telah memuat naik satu berita yang memberi gambaran bahawa pelakon itu adalah individu bergelar Datuk Seri yang ditangkap khalwat ketika bercuti di sebuah pulau di Terengganu seperti dilaporkan sebuah akhbar.

Justeru, Fizz menyerahkan kes tersebut kepada pihak peguam termasuklah urusan memfailkan saman fitnah ke atas pengendali akaun Makcik Puaka.

Sumber - Kosmo ONLINE

Benar MPV diperiksa orang awam, ini tindakan dikenakan kepada polis tersebut

Anggota polis yang membenarkan kereta peronda polis (MPV) diperiksa orang awam di pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Rantau, di Negeri Sembilan, Sabtu lalu akan dikenakan tindakan tatatertib.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata tindakan tegas itu akan dilaksanakan mengikut prosedur di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

“Tidak wajar membenarkan MPV diperiksa orang awam yang tidak mempunyai kuasa kerana mereka (anggota polis) boleh memohon bantuan jika keadaan mendesak berikutan petugas di sekitar kawasan pusat pengundian ketika itu seramai 1,100 orang.

“Kita ada pelbagai saluran seperti rakan setugas lain berhampiran atau balai berdekatan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), tidak timbul alasan membiarkan orang awam menghalang tugas penjawat awam bagi mengelakkan kekecohan,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara Siri 1 kepada 331 penerima membabitkan pegawai dan anggota PDRM Kontinjen Melaka 2019 di Dewan Serbaguna IPK negeri, Bukit Beruang, di sini.

Mohamad Fuzi berkata demikian mengulas kejadian pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau, 13 April lalu apabila lima lelaki dipercayai penyokong Pakatan Harapan (PH) bertindak memeriksa sebuah MPV polis di hadapan pusat mengundi di sekolah berkenaan.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 6 petang ketika dua anggota polis berpangkat sarjan dan koperal melakukan tugas membantu kawalan lalu lintas dan mahu mengiringi kertas undi PRK DUN terbabit.

Justeru, katanya, pihaknya tidak akan bertolak ansur dalam isu berkenaan yang berkait dengan penguatkuasaan undang-undang.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Fuzi berkata kertas siasatan terhadap lima orang awam yang direman berkait isu sama akan dikemukakan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapat arahan selanjutnya.

Katanya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata 251 laporan polis diterima setakat pagi ini berhubung status dimuat naik pemilik Facebook yang menghina dan mencerca Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun, katanya, belum ada sebarang tangkapan dilakukan, namun polis akan terus memburu pihak berkenaan.

Sumber: BH Online / Nurul Fhatihah Zakinan

'Tolong sedekahkan ayat Kursi untuk Acap malam ini'

GOPENG - "Saya minta sangat rakyat Malaysia tolong sedekahkan ayat Kursi untuk Mohammad Ashraf malam ini, sekali pun cukuplah," demikian permintaan ibu mangsa, Siti Maznah Khamis, 58.

Katanya, dia reda dengan dugaan yang diterima dengan kehilangan anak kelima daripada tujuh adik beradik itu sejak 25 hari lalu.

"Apa-apapun terserah kepada ALLAH SWT selepas kita berusaha berhempas pulas, meredah hutan belukar, menuruni sungai, melalui bukit, gua semua sekali.

"Cukup dah, kami rasa usaha itu sangat-sangat besar untuk mencari anak saya. Di mana noktahnya itu hanya ALLAH yang tahu, kita memang tiada daya dan tidak tahu noktahnya di mana dan kita akan terus berdoa," katanya ketika ditemui pada lawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin ke Pos Kawalan Bomba di Kampung Pintu Padang di sini, hari ini.

Siti Maznah berkata, keluarganya tidak melupakan usaha sukarelawan di setiap pelosok negara yang turut serta dalam pencarian itu.

"Untuk pejuang dan sukarelawan yang mencari yang kata tidak didendang, saya doakan untuk terus tabah dan bertahan dalam usaha mencari Acap.

"Saya juga mengucapkan terima kasih, tidak terbalas saya dan keluarga atas jasa kepada semua yang susah payah turun melihat dan menyelesaikan keadaan dan meneruskan usaha ini," katanya.

Katanya, dia turut menafikan dakwaan kononnya anaknya itu pernah hilang semasa menyertai aktiviti lasak sebelum ini.

"Acap tidak pernah hilang, dia sentiasa ada cerita-cerita yang menarik dan cerita yang baik-baik selama dia mengikuti semua sekali aktiviti.

"Baik di Lombok, Indonesia atau Sabah dan dekat mana-mana pun, dia memang baik dan memang suka cerita dan gembira. Bila balik (mendaki) tiada yang cerita sedih," katanya.

Sumber: Sinar Harian / NOOR AINON MOHAMED

Suami isteri ditemui maut dalam bilik sewa

TASEK GELUGOR - Sepasang suami isteri ditemui mati dalam bilik sewa mereka di sebuah rumah di Jalan Pokok Machang, di sini.

Mayat pasangan itu ditemui oleh pemilik rumah tersebut kira-kira jam 9.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemilik rumah berkenaan telah mengetuk pintu bilik pasangan itu selepas mendapati motosikal mereka masih berada di hadapan kediaman tersebut.

Menurutnya, mayat wanita berusia 27 tahun itu ditemui di atas katil manakala suaminya yang berusia 31 tahun berada dalam keadaan tergantung pada alang rumah di bilik sewa mereka.

"Pemilik rumah berkenaan bertindak mengetuk pintu bilik pasangan itu selepas menyedari motosikal mereka masih berada di hadapan rumahnya. Sepatutnya pada waktu itu, pasangan itu telah keluar bekerja.

"Siasatan awal mendapati, wanita itu meninggal dunia dipercayai meminum racun," katanya kepada media di lokasi kejadian.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati, pasangan itu mengalami masalah kewangan dan peribadi.

Sementara itu, pemilik rumah berkenaan, DM Nirmala, 30, berkata, pasangan yang tidak mempunyai anak itu telah menyewa di rumahnya sejak sebulan lalu.

Menurutnya, lelaki tersebut bekerja sebagai kelindan lori manakala isterinya bekerja sebagai operator kilang di kawasan berhampiran.

"Pagi tadi, dalam jam 9 pagi, saya baru balik dari tempat kerja. Saya hairan tengok motosikal mereka masih ada depan rumah. Biasanya pagi-pagi mereka dah pergi kerja.

"Saya rasa tak sedap hati, lepas tu ketuk pintu bilik tapi tak dibuka. Saya cuba buka dan tengok bilik tak berkunci. Saya nampak si isteri terbaring atas katil, suami dia pula tergantung pada alang," katanya.

Dia berkata, setelah mendapati kedua-duanya sudah tidak bernyawa, dia menghubungi polis untuk memaklumkan tentang kejadian tersebut.

"Mereka berasal dari Perak. Adik lelaki itu yang berusia 21 tahun pun tinggal dengan mereka. Mereka tak ada anak walaupun dah lima tahun kahwin. Sebelum kejadian, mereka tak ada tunjukkan apa-apa perubahan pun.

"Cuma si isteri terlalu cemburu dan saya pernah terdengar mereka bertengkar pasal isu duit dan cemburu. Mereka juga pernah gaduh sebab si isteri tuduh suaminya ada hubungan dengan saya," katanya.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, siasatan di tempat kejadian dan pada kedua-dua mayat tidak menemui sebarang unsur jenayah.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun siasatan masih dijalankan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat," katanya.

Sumber: Sinar Harian / SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI

PERMATA dijenamakan semula dengan nama baharu Genius

NILAI: Program Permata Negara (PERMATA) dijenamakan semula dengan diberi nama baharu, Genius, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata, Kabinet membuat keputusan itu untuk menjadikannya lebih berdaya saing dan bersemangat tinggi.

“Walaupun fungsi dan peranannya sama, ada beberapa program di bawahnya akan dipertingkatkan dari segi kualiti.

“Kabinet membuat keputusan ini untuk penjenamaan semula supaya ia lebih berdaya saing dan bersemangat tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Intervensi Murid Sekolah Tahfiz Swasta di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Cempaka, di sini.

Sementara itu, Maszlee berkata, Program Intervensi Murid Sekolah Tahfiz Swasta dilaksanakan secara rintis di SMK Bekok, Segamat, mulai 2017 membabitkan pengambilan 30 murid dan diikuti 24 lagi pada tahun lalu.

Beliau berkata, pelaksanaan program itu di SMK Desa Cempaka menggunakan model rakan strategi dengan pengambilan murid tahfiz swasta daripada Maahad Tahfiz Al-Quran An Najihah, Kampung Jijan, di sini.

“Pendekatan strategik ini akan membawa dimensi baharu dalam arus pendidikan negara bagi memberi ruang murid tahfiz mengikuti pengajaran dan pembelajaran secara formal yang lebih sistematik di sekolah Kementerian Pendidikan untuk persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Maszlee berkata, kementerian menyambut baik saranan Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, supaya sekolah berusia melebihi 15 tahun perlu melakukan audit keselamatan setiap tahun.

“Ia adalah cadangan yang baik dan kami akan mempertimbangkannya,” katanya.

Sumber: BH Online / Azzman Abdul Jamal